July 10, 2013
SAHOR #1

Syaaban sudah usai. tepat 6.40 waktu tempatan, azan maghrib sudah gema, 1 ramadhan sudah jengah. manusia manusia sudah mulai membibit ubah. sudah ada yang itu, sudah ada yang ini. ini semua bersebab bulan puasa.

sambutan bulan puasa untuk saya harus hebat. dan harus juga dihias dengan perbuatan dan perlakuan malah dengan ritual sentimental. bukan kerana saya sentimentalis, tetapi harus ada satu dua perkara bagi buat peringatan yang mana bulan yang ditunggu ini sudah masuk.

kubur bapak sudah saya tebas elok. rumput yang mana panjang saya cabut. yang mana jauh terpasak berakar serabut panjang ke dalam bumi saya sabit. mana yang senget saya luruskan. mana yang kotor, saya bersih. saya titip juga sepotong al fatihah. saya siram beri basah. hiris hiris daun pandan saya tabur atas kubur, supaya wangi. cukuplah. ini tanda ingatan saya seorang anak. supaya kubur bapak yang sudah 8 tahun, masih terlihat baru. kalau bersemak, itu gambaran kepada saya anaknya dan wakil keluarga. (seperti mana juga saya melihat kuburan lain yang sudah mula tumbuh rumput dan lalang. yang mana larat saya bersihkan)

*kalau boleh saya mohon kepada tuhan dihidupkan bapak saya untuk sehari pertama puasa untun berbuka bersama, sudah lama saya buat*

masjid di kawasan tetangga saya malam tadi separa penuh. tidak sesak. barangkali sebab susunan ahli jawatankuasa masjid tahun ini yang lebih bersistematis dan mengambil kira unjuran jemaah tahun lepas. jemaah datang dengan pelbagai pakaian. ada yang berjubah. ada yang berbaju melayu lengkap bersongkok. diikut dengan keffiyeh yang pelbagai. dioles baju mereka dengan pelbagai bauan minyak attar. tahun lepas, bilangan ini akan surut saban minggu. selepas mengopi secangkir dua, mereka balik. ada jemaah berkumpulan yang bertadarus.               ciptaan tuhan memang pelbagai.

*

di dalam satu daerah yang lain, esok semua orang sudah berkira kira mahu berbuka juadah apa. saya berkira kira dengan siapa saya akan ditemukan. dan berapa banyak yang saya boleh belajar dengan siapa saya ditemukan itu. saya tak kira dan tidak peduli kalau syaitan iblis dirantai secara sastera dan falsafah atau secara literal; dirantai dengan rantai besi dikunci Solex. syaitan iblis semua mereka ada di dalam kita; saya dan saudara. dan lihat saja bagaimana pendidikan kita di dalam 11 bulan yang sudah. (pendidikan saya di dalam 11 bulan yang lepas hebat. saya meratib carut saban hari. =D )

*

di dalam rencana masa depan yang kabur (tapi tidak malap) moga tuhan boleh terus menghujani ilham dan jalan keluar. ada rejeki dari arah yang tidak disangka sangka. semoga barokahnya ada. roh teranjur untuk terus berdoa.

salam. have a ROCKING ramadhan!

Bensahar